Honda Grom 2021 versi perlumbaan diperkenalkan oleh HRC

Honda Grom 2021 atau juga dikenali dengan nama Honda MSX125 Grom 2021, baru saja dilancarkan di pasaran Thailand dan Eropah. Terkini di pasaran Jepun, Honda Racing Corporation (HRC) telah memperkenalkan versi perlumbaan untuk motosikal mini bike tersebut yang tampil dengan livery HRC yang cukup sporty dan menawan.

Honda Grom 2021 (Race Base) akan dibekalkan oleh kedai servis HRC untuk pasaran seluruh Jepun bermula bulan Mac 2021. Diasaskan daripada model standard, peralatan keselamatan yang tidak perlu akan dibuang. Seterusnya model tersebut akan dipasang dengan kit perlumbaan HRC dan dijual sebagai sebuah jentera perlumbaan lengkap.

Menurut HRC, jentera perlumbaan Honda Grom 2021 (Race Base) hanya khusus untuk kegunaan di litar sahaja dan tidak boleh digunakan di jalan raya biasa. HRC pada masa yang sama turut mengumumkan bahawa mereka akan menganjurkan perlumbaan HRC Grom Cup menggunakan jentera tersebut di litar perlumbaan di seluruh Jepun.