Honda MSX125 Grom 2021 diperkenalkan di pasaran Eropah, penampilan baharu dengan transmisi lima kelajuan

Model kompak Honda Grom atau di pasaran Malaysia ianya dikenali dengan nama Honda MSX 125 SF, kini diperkenalkan di pasaran Eropah dengan nama baharu Honda MSX125 Grom. Model tersebut sebelum ini dikenali di pasaran Eropah dengan nama Honda MSX125 (Mini Street X-treme 125) sejak pelancarannya pada tahun 2013.

Untuk musim 2021, bukan sekadar nama yang berubah, malah Honda MSX125 Grom juga didatangkan dengan penampilan baharu yang boleh dikatakan lebih menarik dan sporty berbanding generasi sebelumnya. Kemaskini baharu turut melibatkan panel meter digital LCD yang kini memaparkan rev-counter dan penunjuk posisi gear.

Sistem transmisi juga kini telah dinaik taraf kepada lima kelajuan, berbanding empat kelajuan pada model tahun 2020. Kapasiti enjin kekal kepada 125cc (2-valve air-cooled single cylinder) dengan teknologi PGM-FI, menghasilkan kuasa maksimum 9.65hp @ 7,250rpm dengan tork maksimum 10.5Nm @ 5,500rpm. Klac tangan manual seterusnya memberikan pengalaman tunggangan motosikal bersaiz penuh.

Enjin Honda MSX125 Grom 2021 juga kini lebih bersih dengan pematuhan terhadap piawaian emisi Euro 5, sementara tahap ekonomi penggunaan bahan api pula berada pada tahap 66.6km/l (WMTC mode). Tangki bahan api kini mempunyai kapasiti 6.0 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Menurut Honda, kelajuan maksimum model kompak tersebut turut menunjukkan peningkatan, dari 92 km/j kepada 94 km/j.

Pengendalian yang mudah dan menyeronokkan Honda MSX125 Grom disumbangkan oleh struktur casis yang tegar, berat yang dikurangkan kepada 103 kg (kerb weight) dan ketinggian tempat duduk serendah hanya 761 mm. Fork depan upside-down 31 mm dan monoshock di bahagian belakang turut memainkan peranan dengan cemerlang.

Roda depan dan belakang tampil dengan rim aluminium berukuran 12 inci dengan lebar 2.5 inci, dipasangkan tayar masing-masing dalam siri 120/70-12 dan 130/70-12. Brek cakera depan 220 mm dengan kaliper dua piston dan brek cakera belakang 190 mm dengan kaliper tunggal, dilengkapi dengan sistem ABS yang beroperasi melalui IMU.

Lampu depan LED juga tampil dengan rekaan baharu yang kini kelihatan lebih ramping, digandingkan bersama-sama lampu belakang yang juga LED. Untuk pasaran Eropah, Honda MSX125 Grom 2021 boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Force Silver Metallic, Mat Gunpowder Black Metallic dan Gayety Red.