Ducati Malaysia (Next Bike Sdn. Bhd) kini rasmi menawarkan model terbaharu Ducati Streetfighter V4 2020 dan Ducati Streetfighter V4 S 2020 untuk pasaran Malaysia. Bagi model Streetfighter V4, harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM115,900.00, manakala Streetfighter V4 S boleh dimiliki pada harga RM145,900.00.
Kedua-dua model berkenaan dikuasakan enjin Desmosedici Stradale dengan kapasiti 1,103cc, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 208hp @ 12,750rpm dengan tork puncak 123Nm @ 11,500rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan.
Menurut Ducati, jumlah keluaran kuasa itu masih boleh ditingkatkan kepada 220hp dan 130Nm, apabila ianya dilengkapi sistem ekzos jenis perlumbaan (full-racing Ducati Performance exhaust by Akrapovič). Penggunaan ekzos tersebut turut mengurangkan berat sebanyak 6 kg, daripada berat asal 201 kg (V4) dan 199 kg (V4 S).
Untuk anda yang tertanya-tanya apakah perbezaan di antara model Streetfighter V4 dan Streetfighter V4 S, ianya melibatkan sistem suspensi dan rim roda, di mana tambahan kelengkapan eksklusif untuk Streetfighter V4 S adalah seperti berikut :
- Ducati Electronic Suspension (DES) EVO
- Öhlins NIX-30 forks with Öhlins Smart EC 2.0 control system
- Öhlins TTX 36 shock absorber with Öhlins Smart EC 2.0 control system
- Öhlins steering damper with Öhlins Smart EC 2.0 control system
- Forged aluminium Marchesini wheels
Ducati Streetfighter V4 dan V4 S mempunyai reka bentuk yang garang dan buas, dibangunkan daripada model Panigale V4 yang telah dibuang fairing, serta ditukarkan handlebarnya kepada bentuk yang lebih tinggi dan luas. Lampu depan LED yang minimalis dan lampu DRL berbentuk V, menjadikannya lebih eksklusif dan tersendiri.
Selain itu, Streetfighter V4 dan V4 S juga mempunyai ketinggian tempat duduk yang ergonomik pada paras hanya 845mm, sistem Front Frame yang canggih daripada pengalaman Ducati di dalam perlumbaan MotoGP, sistem suspensi yang sofistikated daripada Showa dan Ohlins, sistem brek Brembo Stylema® monobloc calipers, tangki bahan api aluminium 16 liter dan panel instrumen TFT 5.0 inci berwarna sepenuhnya.
Sistem pakej elektronik generasi terkini yang melengkapi Streetfighter V4 dan Streetfighter V4 S berasaskan daripada 6-axis Inertial Measurement Unit (6D IMU), yang memberikan kawalan sepenuhnya terhadap setiap bahagian tunggangan.
Berikut ialah senarai sistem elektronik yang melengkapi Ducati Streetfighter V4 2020 dan Ducati Streetfighter V4 S 2020, di samping tiga mod tunggangan iaitu Race Riding Mode, Sport Riding Mode dan Street Riding Mode :
- ABS Cornering EVO
- Ducati Traction Control (DTC) EVO 2
- Ducati Slide Control (DSC)
- Ducati Wheelie Control (DWC) EVO
- Ducati Power Launch (DPL)
- Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2
- Engine Brake Control (EBC) EVO
- Ducati Electronic Suspension (DES) EVO