Jika Honda mempunyai model CBR600RR, Kawasaki dengan model Ninja ZX-6R dan Yamaha tampil dengan model YZF-R6, Suzuki pula menawarkan model GSX-R600. Di pasaran USA, Suzuki GSX-R600 100th Anniversary Edition 2021 boleh dimiliki pada harga $11,599.00, bersamaan RM 48,048.86 mengikut kadar tukaran semasa.
Selain versi 100th Anniversary Edition 2021, Suzuki GSX-R600 di pasaran negara Uncle Sam itu turut ditawarkan dalam dua pilihan warna lain iaitu Pearl Glacier White dan Glass Sparkle Black bagi model tahun 2020. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak $11,399.00, bersamaan RM 47,231.76 mengikut kadar tukaran semasa.
Suzuki GSX-R600 dikuasakan enjin 599cc (4-stroke, liquid-cooled, 4-cylinder, DOHC) dan dipadankan transmisi enam kelajuan, menghasilkan 125hp @ 13,500rpm dengan tork puncak 67.7Nm @ 11,500rpm. Dengan teknologi Suzuki Drive Mode Selector (S-DMS), ianya membolehkan penunggang memilih tahap kuasa enjin yang diperlukan.
Untuk pengendalian cemerlang bertaraf perlumbaan, Suzuki GSX-R600 dilengkapi fork depan Showa Big Piston Front Fork (BPF) dengan suspensi belakang tunggal juga dari Showa dengan ciri boleh dilaraskan. Peredam stereng kawalan elektronik (electronically controlled steering damper) pula memastikan tunggangan kekal stabil dan lancar.
Tahap keselamatan kemudiannya ditugaskan kepada sistem brek depan Brembo yang hadir dengan cakera berkembar 310 mm empat piston, digandingkan bersama-sama brek cakera tunggal belakang satu piston daripada Nissin. Bahagian roda menyaksikan ianya dilengkapi tayar depan dalam saiz 120/70ZR17 dan belakang 190/50ZR17.
Selain itu Suzuki GSX-R600 turut dilengkapi panel instrumen digital pelbagai maklumat dengan takometer analog, lampu depan halogen multi-reflektor dengan rekaan menegak yang tersendiri, lampu belakang LED, dan termasuklah tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 17 liter, ketinggian tempat duduk 810 mm dan berat 187 kg.