Honda Forza 750 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, enjin 745cc dengan Dual Clutch Transmission (DCT)

Honda Motor Europe pada tarikh 14hb. Oktober 2020 baru-baru ini secara rasminya melancarkan model skuter maxi premium terbaharu Honda Forza 750 2021. Ianya merupakan model Forza dengan enjin terbesar ditawarkan setakat ini, didatangkan dengan kapasiti 745cc (liquid-cooled 4-stroke 8-valve, SOHC parallel 2-cylinder).

Enjin berprestasi itu dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI dan dipadankan transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan. Memenuhi piawaian Euro 5, kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 57.8hp (43.1kW) @ 6,750rpm (35kW/6,000rpm) dengan tork puncak 69Nm @ 4,750rpm (65/4,000rpm).

Honda Forza 750 turut dilengkapi dengan sistem elektronik seperti Throttle By Wire, tiga mod tunggangan lalai iaitu RAIN, STANDARD dan SPORT, di samping mod tambahan USER yang boleh disesuaikan. Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) juga merupakan ciri standard yang beroperasi melalui tiga tahap dan juga boleh dimatikan.

Seterusnya ciri tunggangan sporty dan pengendalian cemerlang yang ditawarkan oleh Honda Forza 750 disumbangkan oleh kerangka keluli berbentuk tiub, fork depan USD 41 mm, suspensi belakang Pro-Link, roda depan dan belakang dalam ukuran 17 dan 15 inci, di samping brek cakera depan berkembar 310 mm (radial-mount four-piston brake calipers) dan brek cakera belakang tunggal 240 mm, dengan sistem ABS dua saluran.

Honda Forza 750 hadir dengan ciri-ciri yang praktikal seperti ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 22 liter yang boleh memuatkan helmet bermuka penuh, pengecas USB yang terletak di ruang kompatmen belakang, dan ruang kompatmen sarung tangan yang mudah diakses, berada di bahagian dalam fairing di posisi sebelah kanan.

Untuk lebih kemudahan, panel instrumen TFT berukuran 5.0 inci dilengkapi sistem terbaharu Honda Smartphone Voice Control yang menghubungkan penunggang ke telefon pintar semasa dalam perjalanan. Ianya membolehkan pengurusan suara untuk panggilan telefon, emel, musik dan sistem navigasi melalui sambungan Bluetooth.

Sistem Smart Key juga merupakan kemudahan tambahan untuk pemilik Honda Forza 750, tanpa perlu menggunakan kunci untuk pencucuhan enjin (ignition), penutup bahan api dan tempat duduk. Ianya juga boleh digunakan untuk mengunci dan membuka Smart Top Box (peralatan pilihan), di samping mempunyai fungsi ‘answer back’.

Sistem lampu Honda Forza 750 merupakan LED sepenuhnya, diikuti lampu belakang yang hadir dengan fungsi keselamatan Emergency Stop Signal (ESS). Berat skuter premium tersebut ialah 235 kg (kerb weight), mempunyai ketinggian tempat duduk 790 mm dan tangki bahan api 13.2 liter dengan potensi jarak perjalanan sejauh 370 km.

Honda Forza 750 2021 didatangkan dalam empat pilihan warna yang menarik seperti Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red, Matt Beta Silver Metallic dan Graphite Black. Pilihan aksesori yang boleh didapati termasuklah ‘heated grips’, ‘leg deflectors upper/lower’, ’50L smart top box’, ’38L top box’ dan ‘panniers – right 26L, left 33L’.