Model sport bike Yamaha YZF-R15 2020 kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, dalam pilihan warna baharu Race Blu dan Hitam. Rekaan grafik juga telah dikemaskini semula, tampil berbeza jika dibandingkan dengan model Yamaha YZF-R15 2019 yang turut ditawarkan dalam skim warna Race Blu dan Hitam, di samping warna Kuning.
Dari segi teknikal, tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Yamaha YZF-R15 2020 kekal dikuasakan enjin 155cc (Single Cylinder, 4-Stroke, SOHC, VVA) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 19hp (14.2kW) @ 10,000rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm.
Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 11 liter, manakala berat motosikal mencapai angka 137 kg (wet weight). Yamaha YZF-R15 dibangunkan di atas casis Deltabox yang kukuh, dilengkapi fork depan jenis terbalik (upside-down) berwarna emas dan suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium yang ringan.
Sistem brek cakera depan dan belakang yang mantap seterusnya diperkemaskan dengan sepasang tayar berukuran lebar yang menjamin kestabilan tunggangan. Ciri-ciri menarik lain lain adalah seperti lampu depan LED jenis berkembar, lampu belakang LED, lampu kecemasan (hazard lamps) dan panel meter digital pelbagai fungsi.
Yamaha YZF-R15 model tahun 2020 ini masih mengekalkan harga yang sama seperti sebelumnya iaitu sebanyak RM 11,988.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan jaminan 2 tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Seperti biasa, setiap pembelian akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00.