Baru-baru ini menurut laporan terkini dari negara jiran Indonesia, projek Yamaha YZF-R25M yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder telah pun masuk ke fasa seterusnya. Menurut laporan yang belum dapat disahkan itu, prototaip model berkenaan kini dikatakan telah berada di kilang PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM).
Jika laporan tersebut benar, ini bermakna Yamaha telah menyahut cabaran Kawasaki dalam membangunkan model sport bike terbaharu dalam kelas 250cc, yang dilengkapi enjin empat silinder sama seperti model Kawasaki Ninja ZX-25R. Namun begitu masih terlalu awal untuk kita semua melihat projek Yamaha YZF-R25M menjadi kenyataan.
Jadi bersempena dengan laporan tersebut, kita imbas kembali salah sebuah model keluaran Yamaha yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder. Model itu ialah Yamaha FZ250 PHAZER yang mula diperkenalkan dalam tahun 1985, dan dijual di pasaran domestik Jepun pada harga ¥499,000 (harga sekarang bersamaan RM 19,554.62).
Menurut Yamaha, pembangunan model FZ250 PHAZER adalah berasaskan rekaan enjin empat lejang eksklusif syarikat tersebut yang berkonsepkan “Genesis”. Enjin itu (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, in-line 4-cylinder, 249cc) dipasangkan pada badan motosikal berkenaan yang mempunyai binaan yang ringan dan kompak.
Yamaha FZ250 PHAZER tampil inovatif dengan gaya rekaan yang menggabungkan fairing dan penutup tangki minyak, di samping prestasi kuasanya yang setanding dengan model sport dua lejang pada ketika itu. Hamburan kuasa maksimumnya mencapai angka 45PS @ 14,500rpm dengan tork maksimum 24.5Nm @ 11,500rpm.
Berdasarkan gambar-gambar dalam galeri di bawah, Yamaha FZ250 PHAZER model tahun 1985 masih lagi dilengkapi brek belakang jenis dram, sementara model tahun 1986 telah dilengkapi brek belakang jenis cakera. Sistem brek depan hadir dengan konfigurasi dwi cakera untuk prestasi pemberhentian yang lebih cekap dan selamat.
Kembali kepada spekulasi pembangunan model Yamaha YZF-R25M, buat masa ini pihak Yamaha masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Bagaimanapun ianya bukanlah suatu perkara mustahil jika Yamaha kembali dengan model 250cc empat silinder, berdasarkan model-model terdahulu yang menggunakan enjin tersebut.
Galeri : Yamaha FZ250 PHAZER 1985
Galeri : Yamaha FZ250 PHAZER 1986