Model naked Triumph Trident 2021 secara rasminya diumumkan bakal dilancarkan pada awal tahun depan. Model tersebut kini sedang menjalani fasa ujian terakhir termasuk ujian di jalanan, seperti mana yang dapat dilihat melalui beberapa keping gambar terbaharu yang dirakamkan berdekatan ibu pejabat Triumph di Hinckley, UK.
Reka bentuk keseluruhannya juga kini semakin jelas dapat dilihat walau pun masih menggunakan pelekat penyamaran (camouflaged). Sebelum ini Triumph Trident 2021 muncul dalam bentuk prototaip berwarna putih dalam sesi penggambaran di Muzium Rekaan London (London Design Museum) pada bulan Ogos 2020 yang lalu.
Setakat ini antara maklumat awal yang didedahkan oleh Triumph berkenaan model naked kelas pertengahan itu ialah ianya akan dikuasakan enjin tiga silinder yang kaya dengan prestasi kuasa dan tork, akan dilengkapi teknologi terkini sebagai ciri standard, serta bakal menawarkan aspek pengendalian Triumph yang tangkas dan meyakinkan.
Model terbaharu Triumph Trident 2021 ini juga dikatakan bakal ditawarkan sebagai model aras mula (entry level) pada harga yang berpatutan, dengan sasaran jualannya adalah untuk penunggang motosikal generasi baharu. Tambah Triumph lagi, maklumat lengkap mengenai model tersebut akan didedahkan sepenuhnya dalam masa terdekat.