Sempena sambutan ulangtahun yang ke-40 untuk model BMW GS pada tahun ini, BMW Motorrad memperkenalkan model terbaharu BMW R 1250 GS 2020 dan BMW R 1250 GS Adventure 2020. Kedua-dua model tersebut masih mengekalkan enjin boxer dua silinder bersesaran 1,254cc yang berprestasi dan patuh piawaian emisi Euro 5.
Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 136hp @ 7,750rpm dengan tork maksimum 143Nm @ 6,250rpm. Empat pilihan warna ditawarkan untuk kedua-dua model berkenaan, paling menyerlah sekali ialah skim warna “40 Years GS” yang menggabungkan warna hitam dan kuning, berdasarkan model legenda R 100 GS.
Selain itu, kedua-dua model GS dan GS Adventure kini menerima beberapa kemaskini terbaharu yang menjadi ciri standard, seperti Dynamic Traction Control (DTC), tiga mod tunggangan, mod tunggangan “Eco” untuk tunggangan ekonomi, sistem brek BMW Integral ABS Pro, dan termasuklah soket kuasa 12 volt dan soket pengecas USB.
Model GS kini turut menerima kelengkapan standard berupa kluster instrumen pelbagai fungsi dengan paparan TFT berwarna sepenuhnya berukuran 6.5 inci. Peralatan pilihan (optional equipment) yang ditawarkan pula merangkumi mod tunggangan Pro, dynamic engine brake control, Hill Start Control Pro (HSC Pro), lampu depan adaptif full-LED terbaharu, pemanas tempat duduk dan lebih pilihan talaan ketinggian tempat duduk.
Pilihan lain yang ditawarkan ialah handlebar yang boleh dipertingkatkan ketinggiannya sehingga 30 mm, di samping ciri panggilan kecemasan pintar. Lebih menarik lagi pada masa akan datang, sistem lampu dengan fungsi “Welcome”, “Good Bye” dan “Follow Me Home” akan tersedia sebagai pilihan untuk R 1250 GS dan R 1250 GS Adventure.
Galeri : BMW R 1250 GS 2020
Galeri : BMW R 1250 GS Adventure 2020