Khusus untuk pasaran India, Honda Motorcycle & Scooter India Pvt. Ltd. pada 30hb. September 2020 baru-baru ini secara rasminya melancarkan model terbaharu Honda H’ness CB350 2021. Untuk makluman anda, perkataan H’ness merujuk kepada perkataan Highness yang melambangkan keunggulan model bergaya klasik tersebut.
Honda H’ness CB350 bakal memberikan saingat sengit kepada model-model lain dalam segmennya di pasaran India, seperti mana yang ditawarkan oleh Royal Enfield, Jawa dan juga Benelli. Bagaimanapun Honda H’ness CB350 mempunyai kelebihannya yang tersendiri, apabila hadir dengan lima ciri yang menjadi pertama di dalam segmennya.
Kelima-lima ciri-ciri tersebut ialah Honda Selectable Torque Control (HSTC), Honda Smartphone Voice Control system (HSVCS), Assist & Slipper Clutch, Advanced Digital-Analogue Speedometer dan Full LED Setup (front & back). Selain itu ianya juga dilengkapi suis enjin Start/Stop, suis lampu kecemasan, tangki bahan api dengan kapasiti 15 liter, sistem brek cakera dengan ABS dan tayar belakang yang lebar.
Sistem penjana kuasanya juga menawarkan prestasi yang cemerlang, dilengkapi enjin bersesaran 348.36cc (air cooled, 4-stroke OHC single-cylinder) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, seterusnya dipadankan kotak gear lima kelajuan yang lancar. Kuasa maksimumnya mencapai 20.8hp @ 5,500rpm dengan tork puncak 30Nm @ 3,000rpm.
Antara ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Honda H’ness CB350 2021 ini termasuklah kerangka jenis Half Duplex Cradle, suspensi depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar (Twin – Hydraulic), roda depan dan belakang dalam siri 100/90-19M/C 57H dan 130/70-18M/C 63H, brek cakera depan dan belakang berukuran 310 mm dan 240 mm, ketinggian tempat duduk 800 mm dan berat keseluruhan (kerb weight) 181 kg.
Dua varian ditawarkan iaitu DLX Pro dan DLX, dengan kelebihan varian DLX Pro ialah ianya didatangkan teknologi sambungan Honda Smartphone Voice Control system (HSVCS), warna Dual Tone dan dua unit hon. Varian DLX pula tidak dilengkapi dengan teknologi HSVCS, serta hanya mempunyai warna Single Tone dan hon unit tunggal.
Tidak dilupakan ialah sistem ekzos Honda H’ness CB350 ini dikatakan menghasilkan nada bunyi yang cukup kaya dan padu, di samping reka bentuknya yang menawarkan daya tarikan untuk jangka masa panjang. Setakat ini harga jualan rasmi masih belum diumumkan, namun tempahan telah dibuka melalui wakil jualan Honda BigWing India.