Honda Forza 750 2021 bakal dilancarkan pada 14.10.2020

Honda bakal melancarkan model skuter maxi terbaharu Honda Forza 750 2021, pada tarikh 14hb. Oktober 2020. Berdasarkan beberapa buah video ‘teaser’ yang disiarkan di dalam siaran YouTube Honda Motorcycles Europe, model berkenaan dijangka akan menggantikan model Honda Integra, dan tampil dengan reka bentuk yang hampir sama.

Berdasarkan maklumat awal, Honda Forza 750 akan dikuasakan enjin bersesaran 745cc yang diambil daripada model Honda X-ADV. Enjin tersebut juga dikatakan bakal mematuhi piawaian Euro 5, di samping kuasa dan prestasi yang ditala semula agar bersesuaian dengan karakternya sebagai sebuah model dalam segmen skuter maxi.

Honda Forza 750 2021 juga bakal menawarkan reka bentuk yang agresif, di samping ciri-ciri moden dan canggih yang akan diperincikan pada hari pelancaran nanti. Setakat ini saksikan dahulu beberapa keping imej model tersebut yang diambil daripada video ‘teaser’ yang disiarkan, termasuk imej menarik yang memaparkan reka bentuk sisinya.

Galeri : Honda Forza 750 2021

Galeri : 2019 Honda Integra