Suzuki Belang R150 FI bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Pada beberapa hari yang lepas, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) telah menyiarkan sekeping imej ‘teaser’ terbaharu di dalam laman sosial Facebook Suzuki Malaysia, memberikan kita semua bayangan lebih jelas mengenai model yang bakal dilancarkan.

Melalui ‘teaser’ tersebut, tidak dapat disangkalkan lagi bahawa model terbaharu yang bakal dilancarkan itu ialah Suzuki Belang R150 FI, kemunculan semula model Belang R150 yang sebelum ini ditawarkan di pasaran Malaysia dari tahun 2009 sehingga 2016.

Sebenarnya, belum dapat dipastikan sama ada model terbaharu itu akan mengekalkan nama Belang R150, namun pada pandangan Arena Motosikal, nama tersebut telah pun menjadi suatu nama yang ikonik dan dikenali ramai, justeru ianya perlu dikekalkan.

Di pasaran Indonesia, model tersebut dikenali dengan nama Suzuki Satria F150 FI, sementara di pasaran Thailand, Vietnam dan Filipina, nama yang diberikan ialah Suzuki Raider R150 FI. Kesemuanya dilengkapi enjin 150cc dengan sistem Fuel Injection.

Berdasarkan pemerhatian terhadap respon peminat motosikal tempatan, ramai yang berasa teruja kerana Suzuki Malaysia kini kembali dengan model moped berprestasi. Namun ramai juga peminat yang tidak menggemari reka bentuknya yang ‘naked’.

Berkenaan pendapat bahawa Suzuki Belang R150 FI ini hanya untuk peminat kental yang mementingkan prestasi dan kelajuan, atau cuba untuk keluar dari bayangan model-model moped popular di pasaran tempatan ketika ini, ada juga kebenarannya.

Suzuki Belang R150 FI pastinya akan tetap berjaya menarik ramai peminat motosikal tempatan, namun ianya dijangka tidak akan mampu mengatasi populariti model-model moped popular lain seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan SYM VF3i 185.

Yang penting, dunia motosikal di negara kita akan menjadi lebih meriah selepas ini dengan pelbagai pilihan model-model yang menarik. Pilihan di tangan masing-masing, bergantung kepada minat, kemampuan untuk membeli dan keperluan diri sendiri.