Pada tarikh 21hb. September 2020 baru-baru ini, Honda telah memperkenalkan model terbaharu Honda CB125F model tahun 2021 untuk pasaran Eropah. Model tersebut telah menerima beberapa perubahan signifikan berbanding model tahun sebelumnya.
Salah satu daripadanya ialah kehadiran kerangka (tubular steel frame) baharu yang dikemaskini semula binaannya, menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 1.7 kg. Rekaan badan motosikal naked tersebut juga telah menerima perubahan terkini yang lebih menarik, mengambil inspirasi daripada model CB yang lebih besar.
Ianya juga melibatkan kehadiran lampu depan LED baharu, panel meter digital dengan ciri penunjuk meter ECO dan tongkat tengah yang praktikal. Pilihan warna yang ditawarkan pula tiga kesemuanya iaitu Splendor Red, Pearl Cool White dan Black.
Honda CB125F 2021 dilengkapi enjin baharu eSP (‘enhanced Smart Power’) dengan sistem sejukan udara, kotak gear lima kelajuan dan bertaraf Euro 5. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 10.7hp @ 7,500rpm dengan tork 10.9Nm @ 6,000rpm.
Enjin 124cc (air-cooled, 4-stroke, SOHC, single-cylinder) itu menawarkan tahap ekonomi penggunaan bahan api sehingga 27 peratus tanpa mengurangkan prestasinya. Menurut Honda, potensi jarak perjalanan yang boleh dicapai melalui isian penuh tangki bahan api 11 liter pada motosikal berkenaan melebihi 700 km (66.7 km/liter).
Di samping itu, enjin eSP turut dilengkapi sistem penghidup AGC (Alternating Current Generator) yang mampu menjana tenaga elektrik, seterusnya menyumbang kepada pengurangan berat enjin sehingga 7 kg. Keseluruhannya berat basah motosikal kini ialah 117 kg, lebih ringan sehingga 8.6 peratus (11 kg) berbanding model sebelumnya.
Honda CB125F 2021 memiliki suspensi depan fork teleskopik 31 mm, penyerak hentak belakang berkembar dengan ciri pelarasan prabeban 5 langkah, serta rim sporty (die-cast aluminium) 18 inci dengan saiz tayar 80/100 (depan) dan 90/90 (belakang).
Sistem brek CBS menampilkan brek cakera depan tunggal berdiameter 240 mm dengan kaliper dua piston, seterusnya digandingkan dengan brek dram 130 mm di bahagian roda belakang. Mempunyai ketinggian pelana 790 mm, ianya menawarkan ruang tempat duduk yang selesa untuk dua orang dewasa.