QJ Motor baru-baru ini secara rasminya melancarkan beberapa buah model motosikal terbaharu untuk pasaran China, salah satu daripadanya ialah model full fairing QJ SRG600 2020. Ianya merupakan kembar kepada model naked QJ SRK600 2020 yang diperkenalkan di pasaran negara tersebut dalam bulan Jun yang lepas.
QJ SRG600 mendapat perhatian ramai kerana ianya dikatakan bakal dilancarkan semula oleh Benelli untuk pasaran global, dan mungkin akan dikenali dengan nama Benelli 600RR. Secara keseluruhannya, reka bentuk dan penampilan QJ SRG600 ini kelihatan begitu sporty, dengan pandangan bahagian hadapan yang agresif.
QJ SRG600 dikuasakan enjin bersesaran 600cc (four-cylinder, 16-valve, water-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum sehingga 80.5hp @ 11,000rpm dan tork puncak 55Nm @ 8,000rpm, membolehkannya mencapai kelajuan sehingga 190 km/j.
Seterusnya antara ciri-ciri menarik yang melengkapi QJ SRG600 termasuklah panel meter digital TFT berwarna sepenuhnya, sistem kunci Keyless yang canggih, sistem lampu LED, fork depan USD daripada KYB, suspensi monoshock belakang KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, dan sistem brek Brembo dengan ABS dua saluran.
Untuk kawalan dan pengendalian pada tahap cemerlang, QJ SRG600 dibekalkan tayar berprestasi tinggi SupermaxxST dalam siri 120/70-17 untuk roda depan dan 180/55-17 untuk roda belakang. Berat model supersport kelas pertengahan itu ialah 215 kg (curb weight) dan mempunyai kapasiti maksimum pengisian bahan api 16.4 liter.
Untuk pasaran China, QJ SRG600 2020 ditawarkan pada harga serendah CNY 50,999, bersamaan nilai RM 31,178.69 mengikut kadar tukaran semasa. Apabila dilancarkan oleh Benelli untuk pasaran global nanti, dijangka termasuklah pasaran Malaysia, harga untuk model berkenaan pastinya akan berada pada tahap yang cukup kompetetif.