Model naked yang ditunggu-tunggu Yamaha MT-25 2020, akhirnya rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia sebentar tadi. Harga yang ditetapkan adalah sebanyak RM 21,500.00 (tidak termasuk pendaftaran dan insuran), di mana pengedarnya Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mengatakan harga tersebut adalah berpatutan.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-25 2020 turut mempunyai nama tambahan First Edition, dengan tagline Rush of Darkness. Tidak pasti pula kenapa adanya nama tambahan First Edition, memandangkan model ini merupakan generasi terbaharu versi facelift yang tampil dengan wajah (lampu depan) yang lebih sporty dan agresif.
Enjinnya seperti mana kita semua sedia maklum, bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghamburkan kuasa maksimum 35.5hp @ 12,000rpm dengan tork maksimum 23.6Nm @ 10,000rpm. Ianya turut dilengkapi tangki bahan api 14 liter, dengan berat berada pada paras 169 kg.
Ciri-ciri menarik seterusnya yang melengkapi Yamaha MT-25 2020 untuk pasaran tempatan ini termasuklah panel meter digital LCD, sistem lampu LED, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, tayar tanpa tiub yang lebar, dan dua pilihan warna iaitu Ice Fluo dan Yamaha Blue.
Bagi setiap pembelian Yamaha MT-25, pembeli akan menerima rantai kunci MT-25 First Edition, buatan Royal Selangor yang pastinya eksklusif dan berkualiti. Untuk anda yang tidak sabar-sabar mahu melihat model naked tersebut dari jarak dekat, Yamaha MT-25 akan berada di semua cawangan pengedar rasmi HLYM bermula 18 September 2020.
Sementara itu dalam majlis pelancaran yang berlangsung tadi, HLYM seperti mana yang dijangkakan telah memperkenalkan Yamaha MT-15, juga dengan nama tambahan First Edition, dengan tagline Spirit of Darkness. Bagaimanapun model naked sensasi tersebut hanya akan tiba di semua pengedar HLYM pada bulan November 2020.
Harganya juga masih belum diumumkan, namun sama seperti MT-25, harganya nanti dijangka akan turut berpatutan. Yamaha MT-15 dilengkapi enjin bersesaran 155cc VVA dengan transmisi enam kelajuan, dengan kelengkapan sistem Assist & Slipper Clutch. Sama-sama kita nantikan kemunculannya di pasaran pada bulan November depan.