Ketika ini di pasaran Malaysia, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB) masih menawarkan model Kawasaki Ninja 650 ABS, yang secara rasminya dilancarkan pada tahun 2017 yang lalu. Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang KMSB, model tersebut boleh didapati dalam empat pilihan warna kesemuanya.
Sewaktu dilancarkan dahulu, Kawasaki Ninja 650 ABS ditawarkan pada harga sekitar RM 38k. Namun kini di dalam laman jual beli popular Mudah.my, terdapat banyak kedai yang menjual motosikal tersebut menawarkan harga promosi, dengan ada daripadanya menawarkan harga jualan asas dalam lingkungan serendah RM 31k sahaja.
Dari segi spesifikasi, Kawasaki Ninja 650 ABS di pasaran Malaysia ketika ini mungkin agak ketinggalan, kerana model yang ditawarkan adalah versi terdahulu dari tahun 2017 sehingga tahun 2019. Bagi model tahun 2020 yang ditawarkan di pasaran luar negara, model tersebut hadir dengan beberapa kemaskini baharu yang lebih menarik.
Antara ciri-ciri baharu yang melengkapi Kawasaki Ninja 650 model tahun 2020 ialah ianya kini didatangkan panel instrumen digital TFT berwarna dengan ukuran 10.9 cm, yang memaparkan pelbagai informasi berguna kepada penunggang, di samping lampu depan utama model tersebut yang kini telah dilengkapi dengan lampu jenis LED.
Namun begitu pada harga jualan yang boleh dikatakan cukup berpatutan ketika ini, setiap pembelian Kawasaki Ninja 650 ABS boleh dikatakan sangat berbaloi. Ini kerana ianya dilengkapi enjin berkapasiti 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan kuasa maksimum 68PS @ 8,000rpm dan tork 65.7Nm @ 6,500rpm.
Model tersebut turut dilengkapi sistem brek ABS dengan cakera berkembar 300 mm di bahagian roda depan dan brek cakera belakang tunggal 220 mm, sistem suspensi yang menawarkan keselesaan dan pengendalian yang menyeronokkan, ketinggian tempat duduk hanya 790 mm, tangki bahan api 15 liter dan berat 193 kg (curb mass).