Kawasaki kelmarin telah memperkenalkan Ninja 400 model tahun 2021 untuk pasaran domestik Jepun, yang kini didatangkan dalam tiga pilihan warna dan grafik baharu yang lebih menyerlah. Tiga pilihan warna baharu tersebut ialah KRT Edition (Lime Green x Ebony), Pearl Night Shade Teal x Metallic Spark Black dan Metallic Spark Black.
Bagi model KRT Edition dan Pearl Night Shade Teal x Metallic Spark Black, harga yang ditawarkan adalah sebanyak 726,000 Yen, bersamaan RM 28,500.09 mengikut kadar tukaran semasa. Bagi model dengan warna Metallic Spark Black pula, harganya ialah 715,000 Yen, bersamaan RM 28,068.27 mengikut kadar tukaran semasa.
Spesifikasi teknikal untuk Kawasaki Ninja 400 2021 di pasaran Jepun ini didapati kekal sama seperti model tahun sebelumnya, masih dikuasakan enjin bersesaran 398cc dua silinder dengan transmisi enam kelajuan, dan dibantu oleh sistem Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa mencapai 48PS @ 10,000rpm dengan tork 38Nm @ 8,000rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model sporty ini termasuklah panel meter digital LCD dengan takometer analog, lampu depan dan lampu belakang LED, fork depan berdiameter 41 mm, sistem brek cakera dengan ABS daripada Nissin, ketinggian tempat duduk 785 mm, kapasiti tangki bahan api 14 liter dan berat motosikal 167 kg.